Identiti budaya Sarawak diketengahkan kepada dunia

KUCHING: Majlis Makan Malam Gala Soul of Borneo 2026 mengetengahkan budaya, tradisi dan identiti masyarakat Sarawak kepada delegasi PATA Travel Mart 2026.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara itu menjadi ruang untuk tetamu mengenali Sarawak melalui muzik, tarian, kraftangan, makanan dan warisan masyarakat.

“Malam ini merupakan satu undangan untuk mengenali Sarawak sebagai sebuah kisah yang hidup.

“Kisah ini dibentuk oleh masyarakat, tanah dan tradisi kita,” katanya semasa ucapan aluan pada Majlis Makan Malam Gala Soul of Borneo 2026, di sini, malam tadi.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, tema Soul of Borneo mencerminkan semangat komuniti Sarawak yang terus memelihara warisan melalui peranan penggiat seni, pengamal budaya dan masyarakat.

Beliau berkata, lima tonggak utama pelancongan Sarawak iaitu Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival turut diterapkan dalam majlis berkenaan selaras dengan kedudukan Sarawak sebagai Gerbang ke Borneo.

Abdul Karim berkata, pelancongan bukan hanya berkaitan perniagaan dan kerjasama sebaliknya turut bergantung kepada hubungan antara manusia, budaya dan tempat yang mencipta pengalaman bermakna.

“Soul of Borneo bukan sekadar sesuatu yang kita persembahkan.

“Ia adalah sesuatu yang kami harap dapat anda rasai, bawa bersama dan kongsikan dengan orang lain,” tambahnya. – AYLA MEDINA/JIWA BAKTI