Sumbangan Aidilfitri kepada 26 masjid, surau di Semop

PULAU BRUIT: Sebanyak 26 masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menerima sumbangan dana berjumlah keseluruhan RM43,000 bagi menjayakan Majlis Pagi Hari Raya di peringkat komuniti menerusi majlis penyampaian di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol.

Program anjuran Pusat Khidmat ADUN Semop bersama Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Pulau Bruit serta Lembaga Amanah Kebajikan Islam Pulau Bruit itu melibatkan dua zon utama iaitu Zon Pulau Bruit dan Paloh serta Zon Bintangor.

Bagi Zon Pulau Bruit dan Paloh, sebanyak 13 masjid dan enam surau menerima sumbangan bagi menyokong penganjuran sambutan Aidilfitri di peringkat komuniti setempat.

Sementara, bagi Zon Bintangor yang diadakan di Dewan Dayang Bai, Bintangor, empat masjid dan tiga surau turut menerima sumbangan yang sama.

Secara keseluruhan, sebanyak 17 masjid dan sembilan surau di kawasan DUN Semop menerima sumbangan dengan setiap masjid menerima RM2,000 manakala setiap surau menerima RM1,000.

Dalam majlis sama, Abdullah turut menyampaikan peruntukan tambahan berjumlah RM130,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pelaksanaan projek pembangunan komuniti.

Daripada jumlah tersebut, RM60,000 diperuntukkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penipah manakala RM70,000 disalurkan kepada JKKK Kampung Semop.

Secara keseluruhan, jumlah dana yang disalurkan melalui program tersebut adalah sebanyak RM173,000 yang merangkumi sumbangan bagi penganjuran sambutan Hari Raya di masjid dan surau serta peruntukan projek komuniti melalui MRP.

Dalam ucapannya, beliau berharap sumbangan yang diberikan membantu pengurusan masjid dan surau menganjurkan sambutan Aidilfitri di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pembangunan institusi keagamaan serta memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan komuniti, khususnya di luar bandar.