Bekalan air terkawal, Sarawak sediakan lori tangki air hadapi kemarau

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan lori tangki air di seluruh negeri sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air susulan musim kemarau.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata lori tangki air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Water serta syarikat yang disewa siap siaga untuk digerakkan jika keadaan memerlukan.

“Ini bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke kawasan terjejas sekiranya berlaku gangguan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman nya di Lorong Duranta, Taman Heritage di sini, semalam.

Julaihi berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dan bekalan air mencukupi, termasuk sepanjang musim perayaan Aidilfitri dan kerajaan akan terus memantau situasi semasa.