Sarawak tumpu pelaburan pasaran Asia, tenaga boleh diperbaharui

SAMARAHAN: Sarawak mencatat jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) yang diluluskan melebihi RM16 bilion tahun lalu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek pelaburan tersebut melibatkan sektor perkhidmatan utama dan pembuatan.

“Sebahagian besar projek sudah direalisasikan manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri SMD Semiconductor Berjarah Raya Aidilfitri 2026 di La Promenade Mall, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, dalam usaha memperkukuhkan pelaburan ini, Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada pasaran Asia seperti China, Jepun dan Korea serta kelebihan tenaga boleh diperbaharui terutamanya hidro.

“Jadi itulah, kelebihan kita dan kita akan terus mempromosikan misalnya dari segi industri berteknologi tinggi dan juga semikonduktor,” tambahnya.

Menyentuh pelaburan dari negara Timur Tengah seperti projek tenaga oleh syarikat luar, beliau berkata komitmen pelabur masih kekal, namun perkembangan semasa akan terus dipantau.

“Sebahagian pelabur datang dari negara yang tidak terkesan secara langsung dengan konflik geopolitik, termasuk pelaburan dalam tenaga solar dari China serta beberapa negara Timur Tengah seperti Abu Dhabi,” tambahnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif SMD Shariman Jamil.