KUCHING: Lebih 200 atlet sukan ekstrem domestik dan luar negara bakal berentap dalam Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) International X-Games 2026 di Tebingan Sungai Kuching mulai 8 hingga 12 April ini.
Atlet terbabit dijangka dari Perancis, Afrika Selatan, Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan melibatkan kategori Junior (bawah 15 tahun) dan Terbuka dengan pelbagai acara seperti aggressive rollerblading, BMX flatland, BMX stunt, skateboarding, sukan air (jet ski), street basketball serta pickleball.
Acara berprestij anjuran DBKU itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Canard Group, dan turut berkolaborasi bersama Canroll Pro Urban Sports Festival.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran ini menjadi platform kepada atlet tempatan untuk mengetengahkan bakat di peringkat antarabangsa serta membuka ruang pertukaran pengalaman bersama peserta luar negara.
“Program ini bukan sahaja menyediakan pentas kompetitif kepada atlet, malah menjadi medium strategik untuk mempromosi Sarawak sebagai destinasi utama sukan ekstrem,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkat minat terhadap sukan ekstrem kini menunjukkan peningkatan ketara di peringkat global termasuk di Sarawak, melibatkan disiplin seperti BMX, skateboarding dan rollerblading.
“Trend ini jelas berkembang pesat. Penganjuran kali ini bukan sahaja melibatkan acara di darat, tetapi turut diperluaskan ke sukan air seperti perlumbaan jet ski, sekali gus meningkatkan lagi daya tarikan festival ini,” tambahnya.
Selain pertandingan, orang ramai khususnya belia ex berpeluang menyertai bengkel skateboarding dan rollerblading yang dianjurkan bagi memperkenalkan kemahiran asas serta aspek keselamatan dalam sukan berkenaan.
