KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berjaya menyiapkan 11,902 projek bernilai RM27.6 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, pencapaian itu meningkat 9.2 peratus berbanding dalam RMK-11.
Projek yang masih dalam peringkat pembinaan akan diteruskan dalam RMK-13, katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus Rancangan Infrastruktur Sarawak (SIEP) 2026 di sini, hari ini.
Uggah berkata, mulai tahun ini (RMK-13), JKR mendapat kelulusan untuk melaksanakan 852 projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bernilai RM52.4 bilion.
Daripada jumlah itu, beliau berkata, 287 projek bernilai RM26.5 bilion dalam peringkat pembinaan dan 565 projek bernilai RM25.8 bilion dalam peringkat penyediaan tender.
Pelaksanaan projek terbabit memerlukan penyelarasan teguh dan sesi libat urus berterusan antara semua pemegang taruh yang terlibat, katanya.
Menurut Uggah,di samping menyiapkan infrastruktur, kerajaan terus meningkatkan sesi libat urus dengan rakyat melalui program Sarawak Ku sayang akan datang di seluruh bahagian di negeri ini.
Beliau berkata, Sarawak memasuki fasa baharu dalam mempercepatkan penyampaian projek pembangunan dalam RMK-13.
Melalui program Sarawak Ku Sayang itu, katanya, kerajaan akan menyampaikan khidmat kepada rakyat bagi memastikan pembangunan itu inklusif dan tiada kawasan dipinggirkan.
Antara projek yang kerajaan giat laksanakan ialah jalan raya, membina jambatan, bangunan kerajaan dan kemudahan awam seperti sekolah,klinik dan infrastruktur pentadbiran sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, tegas beliau.
Program SIEP 2026, tambahnya, selari dengan matlamat pandangan jauh Premier Sarawak untuk membangunkan infrastruktur sebagai kunci utama pertumbuhan ekonomi, masyarakat inklusif dan membukapeluang baharu di seluruh negeri ini.
Uggah menegaskan, melalui program SIEP 2026 itu, kerajaan mahu meningkatkan tadbir urus untuk memastikan rancangan yang hendak dilaksanakan dimaklumkan kepada rakyat oleh wakil rakyat masing-masing.
Pembangunan infrastruktur hari ini hendaklah bersifat penggerak dan fokus kepada rakyat, katanya dan menambah, kerajaan harus memastikan setiap jalan raya, jambatan, sekolah, klinik dan kemudahan awam yang dibina untuk manfaat rakyat.
