TYT, Toh Puan teruskan kunjungan Aidilfitri di kediaman Premier

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman rasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Sri Satria, Kompleks Satria Pertiwi, malam tadi.

Turut berangkat bersama TYT Tun ialah anakanda Sharifah Fariah serta Sharifah Nong-Jasima bersama suami, Mohd Hakeem.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang bertindak sebagai Menteri Pengiring, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.

Ketibaan TYT dan Toh Puan disambut Premier Sarawak bersama anakanda Dayang Norjihan bersama suami, Bouteflika Ahmad serta ahli keluarga.

Turut menyambut ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bersama isteri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bersama suami, serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petroleum Sarawak Berhad) Datuk Ibrahim Baki bersama isteri.

Kunjungan yang berlangsung kira-kira dua jam itu membuka ruang untuk pertukaran pandangan mengenai pelbagai isu semasa dalam suasana yang penuh muhibah, harmoni dan tertib, sekali gus memperkukuh jalinan silaturahim yang sedia terjalin.

TYT dan Toh Puan merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas layanan mesra yang diberikan.

Beliau turut mendoakan semoga hubungan silaturahim ini akan terus diperkukuh dalam semangat muhibah dan kebersamaan demi kesejahteraan serta kemakmuran berterusan negeri Sarawak.