Kerjasama Sarawak, DNV Norway bantu percepatkan pembangunan tenaga bersih

KUCHING: Kerjasama Sarawak menerusi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) dan DNV Norway akan membantu mempercepatkan pelaksanaan pembangunan tenaga bersih negeri ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, Sarawak yang sedang melangkah ke fasa pelaksanaan dalam pembangunan tenaga baharu memerlukan kepakaran badan berkenaan yang berperanan sebagai badan verifikasi global dalam memastikan piawaian dan kualiti projek tenaga hijau Sarawak menepati standard antarabangsa.

Ini katanya, amat penting memandangkan Sarawak bukan sahaja membekalkan tenaga dalam negeri semata-mata tetapi turut meluaskan pasaran tenaga kepada negara dan negeri jiran.

Ini, termasuk perancangan jangka panjang melibatkan negara di kawasan Asia Pasifik.

“Dari segi kedudukan geografi di rantau Asia Pasifik, Sarawak terletak strategik di tengah-tengah, berbanding Australia yang lebih jauh dan melibatkan kos yang lebih tinggi.

“Justeru, kerajaan negeri sedang merangka satu pelan baharu bagi memperkukuh serta melonjakkan lagi pembangunan industri tenaga hijau di rantau ini, merangkumi pasaran utama seperti China, Jepun, Korea dan negara-negara lain dan ini merupakan peluang besar untuk Sarawak,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Serantau Sistem Tenaga Asia Pasifik bagi Hidrogen dan CCUS DNV, Dr Thomas Koller, di pejabat beliau, di sini, hari ini.