LIMBANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turun padang meninjau perkembangan pembangunan di bandar itu menerusi lawatan mesra seawal jam 6.30 pagi, hari ini.
Dalam tinjauan tersebut, Premier Sarawak bersama rombongan berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer menyusuri kawasan Waterfront Limbang serta sekitar pusat bandar bagi melihat sendiri kemajuan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Premier turut diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, bersama dif kenamaan lain.
Rombongan turut singgah di perkarangan Muzium Limbang sebagai sebahagian daripada lawatan berkenaan.
Limbang kini menunjukkan perkembangan pesat hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang dirancang kerajaan negeri.
Projek pembangunan semula dan naik taraf Waterfront Limbang yang diilhamkan sendiri oleh Premier Sarawak kini muncul sebagai mercu tanda baharu bandar tersebut.
Dengan panorama menarik termasuk pemandangan Kampung Seberang Kedai yang terletak berseberangan, kawasan ini berpotensi menjadi tarikan pelancong sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Tinjauan berakhir dengan sesi santai apabila Premier Sarawak bersama rombongan singgah minum pagi bersama penduduk di Tamu Limbang.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan seimbang terus dinikmati oleh masyarakat di kawasan utara negeri ini.
