KABONG: Seramai 21 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong menerima sumbangan iPad, manakala enam pelajar lagi menerima insentif wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan tersebut yang disifatkan sebagai bukti kemampuan pelajar luar bandar bersaing setanding dengan pelajar di bandar.
Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan bahawa kekangan geografi bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan sekiranya disertai dengan usaha dan azam yang tinggi dalam kalangan pelajar.
“Pencapaian ini amat membanggakan dan membuktikan anak-anak kita mampu mengukir kejayaan di peringkat tertinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 SMK Kabong, dekat sini.
Dalam majlis tersebut, seramai 27 pelajar mencatat keputusan cemerlang termasuk seorang memperoleh 9A dan seorang lagi 8A, diikuti beberapa pelajar lain dengan pencapaian 7A hingga 4A.
Sebagai tanda sokongan terhadap pendidikan, beliau menyampaikan 21 unit iPad kepada pelajar cemerlang serta insentif wang tunai kepada enam pelajar terbaik, sekali gus menyuntik motivasi untuk terus berjaya.
