Sarawak Delta Geopark terima pengiktirafan antarabangsa 23 April di Paris

KUCHING: Burung kenyalang terus menjadi antara spesies hidupan liar paling bernilai tinggi di Sarawak, sekali gus menjadikannya sasaran utama kegiatan perdagangan haram yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, permintaan tinggi terhadap spesies tersebut dalam pasaran gelap didorong oleh nilainya yang mahal dari sudut komersial.

Menurut beliau, walaupun setiap spesies hidupan liar mempunyai nilai tersendiri, kepentingan sebenar terletak pada peranan mereka dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem serta kelestarian alam sekitar.

“Namun dari segi komersial, kenyalang memang tergolong antara yang paling tinggi nilainya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Renjer Komuniti, pelepasan Operasi Bersepadu Khazanah serta pelancaran program “1,000 Visits to Save Wildlife” peringkat Sarawak di Kampung Semeba, hari ini.

Terdahulu, Len berkata, Sarawak Delta Geopark dijangka mencatat satu lagi pencapaian penting apabila bakal menerima pengiktirafan daripada UNESCO pada 23 April ini di Paris, dengan majlis penyerahan sijil rasmi dijadualkan berlangsung pada 27 April di lokasi yang sama.

Pengiktirafan tersebut katanya dilihat sebagai manifestasi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan setiap dasar serta pelaksanaan pembangunan berlandaskan prinsip kelestarian alam sekitar.