MARUDI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meluluskan lebih RM722 juta bagi membangunkan 52 projek infrastruktur untuk daerah ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dari jumlah ini, 25 projek sudah siap manakala empat projek dalam pelaksanaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM387 juta serta baki 23 projek lagi bernilai RM335 juta dalam penyediaan tender.
“Projek ini adalah hasil daripada kepekaan wakil rakyat DUN N.76 Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil yang mengangkat suara dan keperluan rakyat, secara langsung membawa kemajuan di kawasan Marudi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pecah Tanah Projek Menurap Jalan ke Kampung Ulu Teru, di sini, hari ini.
Justeru, Douglas menggesa penduduk di DUN Marudi agar terus bersatu menyokong Kerajaan GPS melalui Datuk Dr. Penguang yang telah bekerja keras memajukan kawasan Marudi.
Sementara itu, mengenai projek kerja menaik taraf Jalan Ulu Teru yang diluluskan Kerajaan GPS, beliau berkata ini melibatkan peruntukan sebanyak RM45.2 juta merangkumi jalan sepanjang kira-kira 23.4 kilometer (21.5km) naik taraf jalan sedia ada, dan 1.9km jalan baharu) yang akan dibangunkan mengikut standard JKR R1.
Menurutnya, skop projek juga termasuk pembinaan enam jambatan Rolled Steel Joists, satu jambatan konkrit, pemasangan culvert, sistem perparitan, serta perabot jalan raya, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua pengguna.
“Pelaksanaan projek ini dijadualkan mengambil masa dua tahun, dan kerja-kerja naik taraf bermula pada 18 Disember 2025, dan dijangka siap menjelang Disember 2027,” tambahnya.
Beliau difahamkan projek ini akan memberi manfaat kepada 14 rumah panjang melibatkan 397 pintu dan kira-kira 2,500 penduduk.
Secara keseluruhan, sebanyak 35 rumah panjang lagi, melibatkan kira-kira 600 pintu dengan anggaran 5,600 penduduk di kawasan Ulu Teru serta lapan kawasan sekitarnya, termasuk Sungai Nat, Sungai Lamah dan Bukit Limau.
Jelasnya, ini kerana mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Jalan Kilometer 10 sebagai laluan utama dan pergerakan penduduk akan dipermudahkan ke pekan dan bandar terdekat, ke klinik, sekolah, serta ke kawasan pertanian mereka.
