Saintis tempatan rintis potensi bahan api pesawat berasaskan minyak sawit

KUCHING: Penemuan saintis tempatan yang berjaya mengenal pasti komponen daripada minyak sawit sebagai sumber bahan api pesawat membuka potensi baharu kepada Sarawak dalam industri penerbangan mampan.

Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan teknologi tersebut kini sedang diterokai oleh penyelidik tempatan di Sarawak Biodiversity Centre (SBC) sebagai asas kepada penghasilan bahan api penerbangan mampan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF).

Katanya, usaha itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sektor tenaga hijau, malah membuka peluang kepada pembangunan industri baharu yang berdaya saing di peringkat global.

Katanya, penyelidikan berkenaan turut mencerminkan komitmen negeri dalam meneroka sumber tenaga alternatif yang lebih mesra alam, selaras dengan agenda pembangunan mampan Sarawak menjelang 2030.

“Hari ini kita ada penemuan saintis di Sarawak, iaitu bahan daripada kelapa sawit yang dikenali sebagai PFAD.

“PFAD ini akan menjadi bahan untuk megeluarkan minyak kapal terbang. Jadi, AirBorneo kita akan menggunakan minyak kapal terbang yang dikeluarkan dari Gedong.

“Sarawak akan mengeluarkan minyak kapal terbang SAF ini kerana ini adalah teknologi baru dan yang menemuinya ialah saintis kita sendiri di SBC,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong 2026 di Kompleks Satria Pertiwi di sini, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu berkata, penemuan tersebut bukan sahaja memanfaatkan sumber semula jadi negeri, malah memperkukuh kedudukan Sarawak dalam pembangunan teknologi hijau dan industri tenaga alternatif.

Menurutnya, penghasilan produk baharu berasaskan teknologi itu dijangka mampu meningkatkan ekonomi negeri selain menyokong pembangunan infrastruktur secara berterusan.

Beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil pelanjutan jawatan ketua kaum daerah Gedong serta sijil penghargaan kepada mantan ketua kaum sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada komuniti.

Turut hadir anak Premier, Dayang Norjihan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak merangkap Wakil Khas kepada ADUN Gedong Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang.