KUCHING: SeDidik Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Persetujuan dengan ToyBox Creations and Technologies Sdn Bhd (TOY8) untuk program pembangunan saringan dan intervensi dan model latihan di Tadika SeDidik.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah yang menyaksikan majlis menandatangani MoA itu berkata, program tersebut sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Sarawak bagi memastikan tiada seorangpun tercicir.
Dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM1.9 juta untuk tahun pertama, inisiatif itu dilancarkan sebagai pelan utama untuk beberapa tahun akan datang, katanya.
Menjelang tahun 2027, katanya, kementerian akan memperkasa 140 guru SeDidik untuk mengendalikan saringan 1,800 kanak-kanak di seluruh negeri.
Beliau berkata, kerjasama itu merupakan komitmen kementerian untuk menjamin masa depan kanak-kanak di Sarawak, merapatkan jurang penguasaan teknologi AI dan meluaskannya ke luar bandar.
Sejak berjaya mencapai kadar kemasukan 98.4 peratus ke tadika, beliau berkata, setiap kanak-kanak yang memerlukan sokongan tambahan hendaklah dikenali pasti lebih awal.
Dengan menggunakan aplikasi berasaskan telefon pintar TOY8, katanya, ia akan membolehkan guru untuk mengenal pasti perkembangan kanak-kanak di dalam bilik darjah.
Ini akan memperkasakan guru untuk membuat laporan menggunakan data dan membangunkan Program Pendidikan Secara Individu tanpa intervensi klinikal.
Hasil intervensi daripada kumpulan pertama, 60 peratus kanak-kanak berjaya dalam peralihan ke Aliran Perdana, katanya dan menambah, inisiatif di SeDidik itu adalah untuk mewujud suasana harmoni di OSEIC.
SeDidik dijadikan sebagai barisan hadapan untuk pendidikan awal kanak-kanak, OSEIC kekal sebagai hub dianogsis dan terapi.
Projek rintis OSEIC-TOY8 berjaya menunjukkan impak besar dengan menyaring lebih 200 kanak-kanak dan mengenal pasti kanak-kanak masuk dalam Aliran Perdana.
