Persiapan Kejohanan Sukan Olimpik Khas Kebangsaan Keenam lancar

KUCHING: Persiapan penganjuran Sukan Kebangsaan Special Olympics Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di Bintulu mulai 24 hingga 26 April ini berjalan lancar.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setakat ini, persiapan berada pada tahap 90 peratus dari pelbagai aspek.

Sebagai tuan rumah tambahnya, Bintulu sudah bersedia dari pelbagai aspek untuk menerima kehadiran semua peserta.

“Pelbagai aspek termasuk logistik, penginapan, pengangkutan serta majlis pembukaan dan penutupan dirancang rapi bagi memastikan kelancaran temasya tersebut.

“Kita bersyukur, walau kos meningkat, sambutan dari negeri negeri lain amat baik dan mengekalkan penyertaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memorandum Perjanjian (MoA) antara SeDidik Sdn Bhd bersama ToyBox Creations and Technologies Sdn Bhd (ToyEight Holdings Inc.) di One Stop Early Intervention Centre (OSEIC), Metrocity Matang, di sini hari ini.

Dijangka lebih 700 peserta termasuk atlet, jurulatih dan pegawai dari 11 negeri termasuk Wilayah Persekutuan menyertai kejohanan dengan lapan acara sukan dipertandingkan.

Sukan tersebut adalah olahraga, renang, bocce, badminton, bola keranjang, bola sepak, tenis meja dan boling.

Dalam perkembangan lain, Fatimah menambah mereka akur sekiranya Kerajaan Selangor menangguhkan sukan tersebut atas saranan Sultan Selangor kerana krisis ekonomi yang melanda negara ketika ini.

Sekiranya ia diteruskan, pihaknya akan menghantar atlet-atlet untuk bertanding.