KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengiringi keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor ke Majlis Santapan Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan Ke-46.
Majlis yang berlangsung di Boathouse By The Lake, Glass House malam ini menyerlahkan peranan Wanita PERKIM Kebangsaan sebagai platform penting dalam memperkasa wanita Islam melalui agenda dakwah, pendidikan dan kebajikan.
Premier Sarawak yang juga Yang Dipertua PERKIM turut menyaksikan gimik perasmian yang disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor bersama Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan.
Mengiringi Premier Sarawak ke majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Majlis tersebut turut diisi dengan penyerahan replika cek daripada penyumbang kepada Wanita PERKIM Selangor serta sumbangan untuk Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu, Kelantan.
Wanita PERKIM Kebangsaan yang ditubuh 1974 memainkan peranan dalam membimbing wanita saudara baharu, memperkukuh institusi keluarga serta menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan termasuk mualaf.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kesenian, tayangan video perkongsian kisah mualaf wanita dan persembahan penutup sebelum keberangkatan pulang Tengku Permaisuri Selangor.
