KUCHING: Aspek kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan warga kerja perlu diberi perhatian berterusan sebagai asas kepada pembangunan Sarawak yang mampan dan seimbang.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setiap pekerjaan, tanpa mengira sektor kerajaan atau swasta, mempunyai nilai tersendiri dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, tema sambutan tahun ini, “Pekerja Kesuma Bangsa” serta tema Sarawak ‘Pekerjaan Cemerlang, Sarawak Maju Makmur’ mencerminkan peranan penting pekerja sebagai nadi pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian dalam mesej khas sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyaran semua pihak agar terus memperkukuh budaya kerja profesional, berintegriti serta mengamalkan semangat berpasukan.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi yakin bahawa melalui kerjasama erat antara pekerja, majikan dan kerajaan, Bumi Kenyalang akan terus melangkah maju sebagai negeri yang makmur, berdaya saing serta dihormati di persada antarabangsa. – UKAS
