SFC anjur kempen kesedaran kawasan tanah lembap Ramsar

SARIKEI: Semua pihak disaran berganding bahu memastikan kawasan tanah lembap Ramsar terus terpelihara demi manfaat generasi akan datang.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata ini kerana kawasan itu merangkumi pelbagai habitat seperti paya bakau, sungai, tasik dan kawasan pesisir pantai yang jadi tempat perlindungan flora dan fauna, benteng semula jadi terhadap banjir serta sumber ekonomi komuniti melalui aktiviti perikanan dan ekopelancongan.

Namun begitu, katanya kawasan tanah lembap terbabit kini berdepan pelbagai ancaman termasuk pembangunan tidak terkawal, pencemaran dan perubahan iklim yang boleh menjejaskan kelestariannya.

“Saya menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta masyarakat berganding bahu memastikan kawasan Ramsar terus terpelihara demi manfaat generasi akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan kempen kesedaran awam mengenai kawasan tanah lembap Ramsar anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakeri (SKOKMP) Paloh, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan PPD Daro, Hamad Baduri, Pegawai Hutan Wilayah Sarikei, Ali Lee, Pegawai Penyelidikan Kanan, Unit Hal-Ehwal Antarabangsa, Dr Stephen Teo Ping, Guru Besar SKOKMP, Ramzi Junai, Penghulu Paloh Kedang, Japar Sidek Baba, Penghulu Kampung Berangan, Ubi Gudol.