UNITED KINGDOM: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai lawatan kerja ke Manchester dan Bristol, United Kingdom (UK) serta Dublin, Ireland mulai 2 hingga 5 Mei ini.
Ketibaan beliau bersama delegasi di Manchester pada jam 1.15 pagi Sabtu waktu tempatan merupakan misi strategik bagi memposisikan Sarawak dalam rantaian nilai global merangkumi infrastruktur pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pembangunan bakat bertaraf dunia.
Menyambut ketibaan Premier Sarawak ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin serta para pelajar Sarawak dan Sarawak Volunteers.
Di Dublin, Premier dijadual melawat Kampus Pusat Data Strategik K2 termasuk fasiliti DUB4 dan DUB5 yang menjadi antara nadi penting kepada operasi pusat data berskala besar di Eropah.
Di Manchester pula, beliau akan menyertai program Sarawak Agenda-Townhall With YAB Premier Sarawak sebagai platform memperkukuh jaringan bersama diaspora Sarawak, di samping menghadiri Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak yang terus menjadi simbol perpaduan komuniti di perantauan.
Beliau seterusnya dijadual mengadakan sesi libat urus bersama wakil Kerajaan Wilayah Manchester di British Muslim Heritage Centre melibatkan perbincangan meja bulat serta sesi jaringan strategik selain pemeteraian Surat Kolaborasi (LoC) dan Memorandum Persefahaman (MoU).
Di Bristol, Premier dijadual menghadiri sesi libat urus SMD Semiconductor bersama University of Bristol dan menyampaikan ucaptama di majlis berkenaan.
Beliau juga akan menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara SMD Semiconductor dan Bristol Research Group serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara SMD Semiconductor dan Yayasan Sarawak.
Agenda diteruskan dengan lawatan ke National Composites Centre (NCC) serta fasiliti superkomputer Isambard-AI, pusat penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia dalam bidang pengkomputeran berprestasi tinggi.
NCC merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan komposit bertaraf dunia di UK dalam bidang tumpuan utamanya meliputi komposit, kejuruteraan digital dan kelestarian yang menghimpunkan kepakaran terbaik serta teknologi termaju bagi membantu menyelesaikan cabaran kejuruteraan paling kompleks di peringkat global.
Mengiringi rombongan Premier Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar.
