Mukah berpotensi nadi baharu ekonomi digital Sarawak

MUKAH: Mukah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pembangunan ekonomi digital, inovasi dan pembangunan bakat di zon tengah Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, potensi itu turut merangkumi pembangunan ekonomi dalam sektor pertanian moden, akuakultur, ekonomi biru serta tenaga boleh diperbaharui.

Menurutnya, perkembangan itu disokong oleh kewujudan pelbagai institusi pendidikan dan latihan kemahiran di bahagian berkenaan, selain jaringan infrastruktur yang semakin lengkap.

“Mukah mempunyai institusi pendidikan untuk meningkatkan kemahiran seperti CENTEXS, kampus cawangan UiTM dan sekolah vokasional.

“Ini membolehkan Mukah dibangunkan sebagai sebahagian daripada kawasan Central Park Sarawak, khususnya sebagai hab pembangunan digital, inovasi serta pembangunan bakat dan sumber manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Kaul Mukah dan Keman Kaul 2026 di Pentas Utama Tapak Kaul, Pantai Kala Dana, hari ini.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 48 projek pembangunan dilaksanakan di seluruh Bahagian Mukah melibatkan pelaburan melebihi RM4 bilion Kerajaan Sarawak.

Pembangunan itu merangkumi projek jalan raya, jambatan serta kemudahan asas lain yang bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Menyentuh tentang penganjuran Pesta Kaul Mukah dan Keman Kaul 2026, Awang Tengah berkata, pesta tersebut terus kekal menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarawak.

Beliau berkata, kepelbagaian kaum, budaya dan agama menjadi asas kekuatan dalam menyatupadukan masyarakat di negeri ini.

“Kita bersyukur di dalam kepelbagaian ini, kita bersatu, bekerjasama antara satu sama lain kepelbagaian ini menjadi kekuatan kepada kita,” katanya.

Menurutnya, penganjuran pesta itu bukan sahaja menampilkan warisan tradisi masyarakat Melanau, malah turut disertai pelbagai kaum lain di Sarawak.

“Dengan konsep pertembungan sungai-sungai “confluence of rivers” yang pernah dihuraikan Premier Sarawak turut menggambarkan realiti kehidupan masyarakat negeri ini yang bersatu walaupun datang daripada pelbagai latar belakang.

“Justeru itu, pesta seperti Kaul amat penting dalam memperkukuh semangat perpaduan selain memastikan warisan budaya terus diwarisi oleh generasi muda,” kata beliau.

Pada majlis tersebut, Awang Tengah turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Melanau Mukah bagi pelaksanaan aktiviti.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaul 2026, Abdul Yakub Arbi dan ADUN, Tellian Royston Valentine.