MANCHESTER: Dua keutamaan strategik yang bakal menentukan masa depan Sarawak ialah pengukuhan ekonomi berasaskan ‘kuasa otak’ atau ‘brain power’ serta pemerkasaan hubungan global bagi membuka peluang baharu di peringkat antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada sumber semula jadi seperti minyak dan gas yang bersifat terhad, sebaliknya perlu beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan berhemah, termasuk penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang kini mencecah RM8.6 bilion setakat tahun lalu dan tidak akan disentuh selama 20 tahun sebagai jaminan kestabilan ekonomi jangka panjang.
“Kalau kita kuat dari segi ‘kuasa otak’ dan bijak menguruskan kewangan, masa depan Sarawak akan terus terjamin walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global,” jelasnya pada Majlis Makan Malam Anak Sarawak semalam waktu tempatan.
Selain itu, beliau menegaskan keperluan Sarawak memperkukuh jaringan antarabangsa melalui peningkatan hubungan global termasuk penubuhan syarikat penerbangan sendiri AirBorneo serta pengukuhan peranan pelabuhan strategik seperti Pelabuhan Bintulu.
Langkah tersebut dilihat penting dalam meletakkan Sarawak sebagai hab strategik yang menghubungkan laluan perdagangan antara Barat dan Timur, khususnya dalam konteks pertumbuhan ekonomi ASEAN dan perubahan landskap teknologi hijau.
Premier Sarawak turut menekankan potensi besar negeri dalam pengeluaran tenaga hijau seperti metanol hijau yang dijangka menjadi bahan api masa depan industri perkapalan global.
“Dengan kedudukan strategik dan peralihan kepada teknologi hijau, Sarawak berpotensi menjadi pemain utama dalam ekonomi baharu serantau,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Patron bagi Sarawak Volunteers, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara ialah Datuk Zakri Jaafar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki serta tetamu lain. – UKAS
