LIMBANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan pentadbir semua sekolah perlu memastikan sistem pendawaian, longkang dan sebagainya mengutamakan ciri keselamatan warga sekolah.
Menterinya, berkata ini termasuk warga pelajar sekolah di Sarawak kerana pihak kementeriannya mengambil serius tragedi yang meragut nyawa seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di sini akibat renjatan elektrik, baru-baru ini.
“Pastikan semua ciri-ciri keselamatan ini disemak sepenuhnya. Isu pendawaian longkang, tempat-tempat berlubang, paku-paku dan kawasan berbahaya ini, kita harus tindakan segera,”katanya.
Beliau menjelaskan Ketua Pengarah Pendidikan juga telah diarahkan untuk memastikan mereka membuat peringatan kepada semua pentadbir sekolah setiap masa untuk memastikan ciri-ciri keselamatan ini.
“Kita juga sedang memastikan bahawa garis panduan keselamatan sekolah kita ini sedang ditambah baik dan kita telah mendapatkan khidmat daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH),” tambahnya serta memberi ucapan takziah kepada keluarga pelajar terbabit.
