Pemuda Parti PBB perjuangkan hak perumahan golongan muda

KUCHING: Masalah judi online dan kenaikan harga rumah antara isu semasa dibincangkan Mesyuarat Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB, di sini, baru-baru ini.

Ketua Penerangan, Pergerakan Pemuda Part PBB, Roy Valentine berkata mesyuarat dipengerusikan Ketua Pemuda parti, Datuk Martin Ben dengan fokus utama adalah perancangan program pergerakan itu peringkat zon dan persiapan menjelang Konvensyen Parti PBB dijadual Julai hingga September depan.

“Mesyuarat turut menyentuh beberapa isu semasa seperti masalah judi online yang membimbangkan, isu pemilikan rumah dan kenaikan harga rumah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ini memerlukan lebih banyak skim perumahan kos rendah disediakan oleh kerajaan untuk membantu anak muda memiliki kediaman sendiri.

“Isu pemaju perumahan tidak bertanggungjawab yang gagal menyiapkan rumah juga dibangkitkan,” tambahnya.

Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap usaha menggalakkan penglibatan golongan pemuda dalam sektor pertanian untuk masa depan Sarawak disamping merebut pelbagai peluang pekerjaan berkaitan minyak dan gas.

“Dalam mendepani cabaran era digital, turut dibincangkan adalah pembangunan sistem teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan peranan pemuda,” katanya.

Roy berkata, ini khususnya dalam penggunaan platform digital serta media sosial secara lebih berkesan, berinformasi dan memberi manfaat kepada masyarakat.