Integriti kukuhkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan

KUCHING: Kerajaan yang berintegriti dan ditadbir urus dengan telus akan mengeratkan lagi jalinan kerjasama rakyat dan bertambah yakin dengan corak pucuk kepimpinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian (ADUN), Abdul Yakub Arbi berkata, di samping itu rakyat juga akan menaruh kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam membina kehidupan lebih mampan.

Abdul Yakub berkata demikian semasa membahas menyokong usul pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Integriti dan Ombudsman pada persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Usul itu dikemukakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya yang menyenaraikan enam ADUN sebagai ahli jawatankuasa.

Menurut Abdul Yakub, tadbir urus yang baik, berintegriti dan akauntabiliti adalah asas untuk membina masyarakat sejahtera, berdaya tahan dan bertamadun.

Dengan pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Integriti dan Ombudsman itu, katanya, Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkannya dan bersedia menjadi peneraju reformasi dan inovasi pentadbiran.