GEDONG: Lebih ramai anak muda dari Gedong, Batang Sadong dan seluruh Bahagian Samarahan berpotensi besar untuk berjaya dalam bidang pendidikan serta membina masa depan yang lebih cerah.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, kejayaan dalam kalangan generasi muda itu membolehkan mereka melangkah lebih jauh pada masa hadapan.
Katanya, beliau percaya akan ada dalam kalangan mereka yang bakal menjadi doktor, jurutera, guru, usahawan, ahli teknologi, atlet dan juga pemimpin negara pada masa hadapan.
“Namun untuk berjaya, bukan sekadar pandai dalam pelajaran sahaja. Anak muda juga perlu mempunyai disiplin, adab, semangat kerjasama serta menghormati ibu bapa dan guru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika anjuran Kementerian Belia dan Sukan melalui Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, bersama persatuan serta kelab belia, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong, di sini, hari ini.
Beliau menasihatkan golongan muda agar tidak cepat berasa rendah diri atau menganggap diri tidak mampu berjaya, kerana setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing sama ada dalam akademik, sukan, bidang digital dan teknologi mahupun keusahawanan.
