Sarawak perkasakan PMKS luar bandar melalui pelbagai inisiatif

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) luar bandar.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata, ia menerusi pelbagai program latihan, bantuan kewangan, pemasaran produk dan pemudah cara perniagaan.

“Antara inisiatif dilaksanakan termasuk Geran Usahawan Teknikal dan Vokasional, Skim Kredit Mikro Sarawak.

“Showcase Usahawan Sarawak serta program “Jum Regista Bisnes” antaranya bagi membantu usahawan mendapatkan akses pembiayaan dan pasaran turut diadakan,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Tambah beliau, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut melaksanakan program khas belia seperti Youth Entrepreneur Setup, BeliaGoBiz dan Sarawak Youth StartUP.

Selain itu, agensi Persekutuan seperti SME Corp. Malaysia, INSKEN dan Amanah Ikhtiar Malaysia turut menyediakan latihan, bimbingan dan pembiayaan kepada usahawan.

Katanya, dalam Rancangan Malaysia RMK- 12, sebanyak 1,891 program Pembangunan kapasiti diadakan oleh Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC).

“Ia melibatkan 113,228 peserta termasuk 34 program di Betong dan Krian yang memberi manfaat kepada 1,650 peserta,” katanya.