Tupong perlukan penyelenggaraan berterusan

KUCHING: Beberapa isu utama melibatkan penyelenggaraan infrastruktur, keselamatan telekomunikasi, kebajikan atlet muda serta perumahan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, banyak kawasan perumahan lama di Tupong yang dibangunkan sejak 1980-an kini memerlukan penyelenggaraan berterusan, khususnya sistem perparitan, laluan pejalan kaki dan pencahayaan awam.

Menurutnya, kawasan seperti Taman Matang Jaya, Taman Malihah dan Taman Heng Guan perlu diberi perhatian serius bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk.

Sehubungan itu, beliau memohon peruntukan lebih besar disalurkan kepada Majlis Perbandaran Padawan dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Fazzrudin turut menyuarakan kebimbangan terhadap vandalisme infrastruktur telekomunikasi dan mencadangkan penglibatan komuniti melalui pendekatan pemilikan bersama oleh komuniti
bagi melindungi aset berkenaan.

Beliau juga mencadangkan penubuhan Pasukan Penjaga Infrastruktur Komuniti (PPIK) serta pembangunan aplikasi aduan khas bagi mempercepatkan tindakan terhadap kerosakan.

Dalam aspek sukan, beliau menekankan keperluan sokongan menyeluruh kepada pelajar Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya, termasuk pemakanan berkualiti, sains sukan dan sokongan psikologi bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi.

Selain itu, beliau membangkitkan isu golongan M40 yang berdepan kesukaran memiliki rumah dan mencadangkan skim pembiayaan jurang oleh kerajaan negeri bagi membantu pembeli rumah pertama.

Mengulas pembangunan negeri, beliau memuji usaha Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperjuangkan hak Sarawak, termasuk melalui MA63 dan pengukuhan sektor tenaga negeri.