SINGAPURA: Lawatan kerja rasmi selama dua hari Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Singapura bermula hari ini mencerminkan komitmen berterusan negeri ini dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan.
Selain itu, lawatan itu akan memperluaskan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau dijadual menghadiri Philanthropy Asia Summit 2026 yang berlangsung di Marina Bay Sands, termasuk menyampaikan ucaptama menerusi sesi “The Public Agenda” pada 18 Mei ini.
Dalam pembentangannya nanti, Abang Johari dijangka mengetengahkan pendekatan Sarawak dalam memacu pertumbuhan ekonomi rendah karbon melalui penyelarasan dasar pembangunan, kerjasama tenaga bersih rentas sempadan serta pelaksanaan strategi jangka panjang yang berteraskan kelestarian.
Beliau turut dijangka berkongsi pelbagai inisiatif utama negeri termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak, Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak yang menjadi asas kepada transformasi ekonomi hijau negeri.
Sidang kemuncak anjuran Philanthropy Asia Alliance itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, sektor korporat dan filantropi dari seluruh dunia bagi membincangkan penyelesaian inovatif berkaitan perubahan iklim, kesihatan dan pembangunan inklusif menerusi penggunaan teknologi, pembiayaan mampan dan kerjasama rentas sektor.
Selain menghadiri sidang kemuncak tersebut, beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Tan See Leng serta mengadakan mesyuarat bersama Temasek Trust dan Equatic bagi meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor tenaga, teknologi hijau dan pembangunan lestari.
