RM22.5 juta peruntukan PPRMS 2026 sudah dibelanja

KUCHING: Sebanyak RM22.5 juta atau 32 peratus daripada keseluruhan peruntukan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) bagi tahun 2026 dibelanjakan setakat ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keseluruhan peruntukan bagi program tersebut tahun ini adalah sebanyak RM70 juta, seperti yang diluluskan dalam Bajet 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Setakat ini, RM22.5 juta telah dibelanjakan untuk pelaksanaan program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata di bawah RMK-12, sebanyak RM310 juta diperuntukkan bagi PPRMS, membabitkan RM212.3 juta atau 88 peratus dibelanjakan.

“Secara keseluruhan, sejak diperkenalkan 2018, program tersebut memberi manfaat secara langsung kepada 68,423 keluarga,” katanya.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi pelaksanaan program tersebut setakat ini mencecah RM558 juta.