KUCHING: Edisi ketiga Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan memeriahkan penutupan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Kempen anjuran Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak itu dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Program itu bertujuan menggalakkan pengambilan buah-buahan tempatan sebagai sumber makanan berkhasiat.
Kempen itu juga memperkukuhkan sektor agromakanan serta menjana peluang ekonomi kepada petani dan usahawan tempatan.
Antara buah yang dipamerkan ialah durian Black Thorn, nanas, salak, jambu batu dan pisang. Turut ditampilkan pelbagai produk makanan tempatan seperti mee kolok kering Sarawak, kerepek peria, popiah ensalai, nanas kering beku dan gula apong.
Selain itu, program Uji Rasa Nasi diadakan bagi memperkenalkan variasi beras termasuk beras hibrid dari China serta mendapatkan maklum balas orang ramai.
Turut hadir Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak dan ADUN.
