Abang Johari beri bayangan PRN semakin dekat

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semakin dekat.

Meskipun tidak memberi bayangan bila tarikh sebenar, namun beliau menegaskan tempoh untuk melaksanakan PRN masih berbaki sehingga Februari tahun hadapan.

“Saya pun tidak tahu bila pilihan raya namun yang saya tahu tempoh kita (kerajaan) sehingga bulan dua, tapi dekat nak ada sebenarnya, dekat nak ada tapi saya belum tahu bila ‘beduk berbunyi’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Malam Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Abang Johari turut menzahirkan kebimbangan terhadap suasana politik di Semenanjung Malaysia yang rapuh hingga boleh menggugat kestabilan negara sekali gus menimbulkan masalah.

Justeru, beliau mengingatkan Kerajaan GPS agar terus bersatu dalam menolak budaya berpecah-belah serta terus memelihara kebajikan rakyat.

“Sebab itu, Kerajaan GPS amat penting menjadi benteng untuk kita mempertahankan Sarawak,” jelas beliau.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan merangkap Pengerusi Pengelola majlis, Datuk Hamzah Brahim, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta dif-dif kenamaan lain.