KUCHING: Seramai 320 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan daging lembu segar dan telur semasa Program Sejahtera MADANI: Kebajikan – Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1447H di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menyampaikan sumbangan berkenaan di Masjid Darul Hana, di sini.
Penerima sumbangan berkenaan terdiri daripada mereka berdaftar dalam sistem e-Kasih.
Nancy berkata, sumbangan itu bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidiladha.
“Bantuan ini mungkin kelihatan sederhana, namun saya percaya ia membawa makna besar kepada penerima dan ahli keluarganya,” katanya.
Beliau menjelaskan, pihaknya memahami bahawa peningkatan kos sara hidup pada masa kini memberi cabaran kepada ramai keluarga dalam mengurus perbelanjaan harian, lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut hari perayaan.
“Dalam suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu, terdapat keluarga yang perlu membuat pelbagai penyesuaian bagi memastikan keperluan asas dapat dipenuhi,” tambahnya.
Beliau sehubungan itu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO Sarawak), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Muamalat Malaysia Berhad, Jawatankuasa
Masjid Darul Hana serta semua pihak menjayakan program itu.
