BETONG: Bahagian Betong bakal menerima limpahan ekonomi apabila kira-kira 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Peringkat Sarawak mulai 11 hingga 14 Jun ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, sambutan itu akan memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, sektor perhotelan serta komuniti setempat di sini.
Menurut beliau, sambutan berprestij itu bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan rakyat dengan institusi diraja, malah merancakkan aktiviti ekonomi.
“Antara pengisian sambutan termasuk Betong Kitchen, Pameran Raja Kita, majlis kesyukuran pelbagai agama, khutbah khas serta majlis jamuan teh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sambutan itu dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg.
Tambah beliau, kemuncak sambutan pada 14 Jun nanti bakal berlangsung konsert rakyat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang menampilkan artis tempatan, persembahan budaya serta pertunjukan bunga api.
Penganjuran sambutan bertujuan memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai lambang kedaulatan negara dalam sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
