SIBU: Sambutan pra-Gawai Dayak 2026 menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat selain memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Selain sambutan berkenaan, Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Bunga, Sungai Lengan berlangsung meriah dengan kehadiran penduduk rumah panjang serta masyarakat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, sambutan ini juga memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan Parlimen Igan.
“Saya mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada masyarakat Dayak serta berharap sambutan perayaan tahun ini membawa kegembiraan, kesejahteraan dan keberkatan kepada semua keluarga,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis tersebut.
Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.
Ketibaan rombongan disambut mesra oleh penduduk rumah panjang dan masyarakat untuk meraikan sambutan sebagai tanda semangat kebersamaan menjelang perayaan Hari Gawai Dayak.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta sesi ramah mesra bersama penduduk yang mencerminkan semangat muafakat dan keharmonian masyarakat di Sarawak.
