Industri penjagaan semakin mendapat permintaan, warga emas perlukan bantuan khas

KUCHING: Industri penjagaan kini semakin mendapat perhatian di negara ini apabila sektor tersebut muncul antara bidang pekerjaan berpotensi tinggi, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Katanya, ia susulan peningkatan permintaan terhadap penjagaan profesional, khususnya bagi warga emas dan individu memerlukan bantuan khas.

Beliau berkata, perubahan demografi negara yang menuju ke arah masyarakat menua menjadi faktor utama peningkatan keperluan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.

“Banyak institusi serta pusat penjagaan kini aktif mencari tenaga kerja baharu termasuk dalam kalangan lepasan sekolah, sekali gus membuktikan bidang itu mempunyai permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Institut Sosial Malaysia (ISM) bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Telaga Air, di sini hari ini.

Nancy turut menjelaskan bahawa persepsi masyarakat terhadap kerjaya penjagaan sebagai tidak mempunyai masa depan perlu diubah kerana sektor itu kini menjadi sebahagian penting ekonomi penjagaan negara.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan Kerangka Strategik Malaysia Care 2026–2030 yang memberi fokus kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan profesional bagi memperkukuh ekosistem penjagaan di Malaysia.