Peserta antarabangsa sertai SIC Fest 2026

KUCHING: Penyertaan yang semakin meningkat saban tahun membuktikan Sarawak International Choral Festival and Symposium (SIC Fest & Sym) 2026 semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa walaupun baru memasuki penganjuran edisi ketiga.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dua peserta dari Amerika Syarikat, dua dari Thailand, 209 dari Indonesia, 148 dari Singapura dan 32 dari Filipina mengesahkan akan mengambil bahagian dalam festival berkenaan.

SIC Fest & Sym 2026 akan kembali memeriahkan bandar ini bermula 18 hingga 21 Jun ini dengan jangkaan penyertaan lebih 2,000 peserta dari pelbagai negara, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, di peringkat domestik, peserta dari pelbagai negeri di Malaysia juga telah mengesahkan penyertaan mereka, termasuk peserta dari Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak yang mencatat jumlah penyertaan tertinggi dengan lebih 500 peserta setakat ini.

Di samping peserta, katanya, ramai ahli keluarga turut mengiringi kumpulan koir masing-masing, sekali gus memberi impak positif kepada industri pelancongan, perhotelan, makanan dan minuman serta kunjungan ke lokasi pelancongan di Kuching.

Menurut Abdul Karim, festival berkenaan bukan sekadar pertandingan nyanyian koir, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh pertukaran budaya, persahabatan antarabangsa dan persefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang.

Sepanjang empat hari festival berlangsung, pelbagai persembahan dan pertandingan akan diadakan di beberapa lokasi seperti Hotel Waterfront, Old Courthouse, Plaza Merdeka, The Spring, Vivacity Megamall dan Sarawak Plaza bagi membolehkan orang ramai menikmati persembahan koir bertaraf antarabangsa secara lebih dekat, tegas beliau.

Ia dijadual berakhir di Hotel Voco dengan majlis penutupan dan penyampaian anugerah akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.