Kestabilan politik, perpaduan perkukuhkan kesejahteraan rakyat

KUCHING: Suasana di Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang menjadi tumpuan apabila Konvensyen Graduan Melayu Sarawak menghimpunkan pelbagai pihak bagi membincangkan peranan komuniti serta masa depan pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, penganjuran program seumpama itu memberi ruang penting kepada masyarakat Melayu Sarawak untuk terus diperkasakan, meskipun mereka bukan kelompok majoriti di negeri ini.

“Agenda pembangunan negeri tidak wajar dipengaruhi oleh sentimen berasaskan kaum kerana ia boleh menjejaskan keharmonian yang telah lama dibina serta menggugat kestabilan politik Sarawak.

“Ini kerana, elemen perpecahan akibat politik perkauman hanya akan mencetuskan ketegangan, sedangkan perpaduan yang kukuh merupakan asas utama kepada keamanan dan kemajuan yang dinikmati hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan konvensyen tersebut.

Beliau turut menjelaskan, kestabilan politik dan perpaduan rakyat menjadi faktor penting yang menyumbang kepada kekuatan kewangan negeri, sekali gus membolehkan pelbagai dasar kebajikan dilaksanakan termasuk pendidikan percuma.

Tambah beliau, pelaksanaan pendidikan percuma itu lahir daripada pengurusan ekonomi yang cekap serta lebihan hasil negeri yang sepatutnya dikembalikan semula kepada rakyat sebagai pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Pada masa sama, Dr Annuar turut menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris secara seimbang tanpa mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.