Dana MRP perkasa pendidikan, pembangunan belia di Layar

BETONG: Sektor pendidikan dan aktiviti belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar diperkasa menerusi penyaluran dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM245,000.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen dalam memperkukuhkan sektor pendidikan sebagai asas pembentukan modal insan berkualiti.

Menurut beliau, Sarawak kini memerlukan tenaga kerja dinamik dan berkualiti bagi memenuhi permintaan industri moden, selaras dengan matlamat pelaksanaan skim pendidikan percuma di negeri ini.

“Sehubungan itu, saya menggesa pengurusan sekolah, terutamanya guru besar memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai hala tuju kerjaya, khususnya peluang pekerjaan yang wujud di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian cek MRP kepada semua sekolah di kawasan DUN Layar di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, RM235,000 disalurkan kepada 11 sekolah rendah dan lima sekolah menengah, manakala RM10,000 lagi diperuntukkan kepada Kelab Tenis Betong bagi menyokong penganjuran serta pelaksanaan aktiviti sukan kelab berkenaan.