LUNDU: Kerajaan Sarawak menyampaikan pampasan tanah projek menaik taraf jalan masuk ke bahagian ini membabitkan nilai keseluruhan RM403,618.75 kepada 41 penerima hari ini.
Penyerahan tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, di sini.
Projek berkenaan mendapat kelulusan Majlis Perancangan Negeri (SPA) pada 20 Mei 2025 melibatkan pengambilan sebanyak 38 lot tanah dengan keluasan keseluruhan 8,697.8 meter (m) persegi.
Ini membabitkan 24 lot tanah berhak milik, enam lot Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), lima lot Tanah Rizab Komunal Bumiputera (NCL), tiga lot Tanah Kerajaan Berdaftar (SL).
Azizul Annuar berkata, ini merupakan antara agenda utama diusulkan sewaktu Lab N3 Tanjong Datu pada 2021 kerana keperluan mendesak untuk memperbesarkan jalan masuk akibat kesesakan yang menggunakan jalan satu hala.
“Pampasan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan setiap proses pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan awam dilakukan secara teratur dan telus,” tambahnya.
Menurutnya, semua urusan adalah mengikut peruntukan Kanun Tanah Sarawak dan merakamkan penghargaan kepada pemilik tanah yang memberikan kerjasama bagi melancarkan projek ini.
Turut hadir, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching, Awang Nazri Awang Sapri, Penolong Pengarah Penilaian, Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak, Alfian Bawi, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Wan Fauzi Wan Ismail.
