SELANGAU: Kerja-kerja pembaikan Ramp Satu Persimpangan Selangau di Lebuh raya Pan (LPB) Borneo akan dilaksanakan secara terkawal dengan aspek keselamatan pengguna jalan raya diberi keutamaan sebelum laluan itu dibuka semula.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan taklimat teknikal di tapak, kemalangan itu menyebabkan sebahagian panel tembok penahan rosak selain kerosakan pada struktur berhampiran.
“Kerja pembaikan mesti dilaksanakan dengan kaedah yang selamat, teratur dan tidak menambah risiko kepada pengguna jalan raya.
“Laluan yang tidak terjejas akan dibuka secara berfasa selepas disahkan selamat, manakala laluan yang masih berisiko akan kekal ditutup sehingga kerja pembaikan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di Ramp Satu Persimpangan Selangau yang terpaksa ditutup susulan kerosakan akibat kemalangan membabitkan sebuah lori tangki minyak sawit.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, beliau memahami kegusaran orang ramai berhubung penutupan laluan berkenaan dan menyifatkan setiap teguran daripada rakyat, termasuk menerusi media serta media sosial, perlu diberi perhatian serius.
“Saya mengarahkan semua pihak berkaitan memberi keutamaan kepada tiga perkara iaitu memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak dikompromi, memantau jadual kerja pembaikan supaya tidak berlaku kelewatan yang tidak munasabah serta menyalurkan maklumat yang jelas kepada orang ramai mengenai laluan alternatif, status penutupan dan perkembangan kerja di tapak,” ujarnya.
Beliau mengakui penutupan laluan itu menimbulkan kesulitan kepada pengguna, khususnya penduduk serta mereka yang kerap menggunakan laluan Bintulu-Mukah-Sibu, namun menegaskan keselamatan perlu menjadi keutamaan sebelum laluan dibuka semula.
Nanta berkata, beliau akan terus memantau perkembangan kerja pembaikan di Persimpangan Selangau sehingga laluan itu kembali selamat digunakan sepenuhnya.
