Pelaburan pendidikan untuk kemakmuran anak Sarawak​

KUCHING: Rancangan Kerajaan Sarawak melabur dalam pendidikan untuk kemakmuran masa depan Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, apabila setiap anak dipupuk dengan ilmu pengetahuan, nilai-nilai murni serta peluang untuk berkembang, Sarawak sedang membina sebuah masyarakat yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kerajaan Sarawak mengangkat inovasi sebagai pemacu kemajuan serta mempersiapkan generasi masa hadapan bagi menghadapi dunia yang semakin pesat berubah,” katanya ketika melancarkan Aplikasi MySeDidik di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah mewakili Premier Sarawak melancarkan Aplikasi MySedidik itu.

Dalam teks ucapan Premier Sarawak yang dibaca oleh Fatimah, Abang Johari berkata, pelancaran MySeDidik bukan sekadar memperkenalkan sebuah platform digital tetapi merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus melabur dalam pembangunan anak-anak Sarawak.

“Semoga platform ini akan terus berkembang maju dalam memperkasa para pendidik, memperkukuh penglibatan ibu bapa serta menginspirasikan setiap anak untuk mencapai potensi terbaik mereka,” katanya.

Menurut Premier Sarawak, pelancaran aplikasi digital itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan berterusan Sarawak ke arah transformasi pendidikan melalui inovasi, teknologi dan tadbir urus yang berpandangan jauh.

Beliau berharap usaha itu menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan yang berkualiti, sekali gus menyokong aspirasi untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang maju, makmur dan diperkasakan secara digital selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Setakat 30 April lalu, katanya Kurikulum Prasekolah 2026 di semua 107 pusat SeDidik dilengkapi dengan pengdigitalan sepenuhnya.

Lebih penting lagi, beliau berkata, MySedidik memberi perkhidmatan kepada 2,743 pelajar, 6,059 ibu bapa dan 471 kakitangan.

Pengguna aplikasi itu, tambahnya, bergantung kepada MySedidik untuk memperkasakan pengajaran, pembelajaran dan hubungan dan pencapaian itu membuktikan transfromasi digital kini menjadi kenyataan.