Peserta PERANTIS jana pendapatan lumayan

KOTA SAMARAHAN: Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) menawarkan peluang kepada pesertanya menjana pendapatan lumayan menerusi keusahawan berasaskan orkid.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, ini dibuktikan apabila terdapat peserta program berjaya menghasilkan pendapatan yang tinggi dalam masa sebulan.

“Terdapat peserta program berjaya menghasilkan dan memasarkan produk sendiri dengan pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan.

“Ada di antara mereka mampu menjana sehingga RM8,000 sebulan berdasarkan data SARORSO,” katanya semasa merasmikan majlis graduasi Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO) di Pe-TARY Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.

Tegas Nancy, pencapaian itu membuktikan bahawa wanita mampu mencapai kejayaan apabila diberi peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.

Beliau berkata, menerusi inisiatif SARORSO di bawah PERANTIS, Program Pementoran Kepimpinan dan Keusahawanan Wanita khususnya bagi golongan B40 diwujudkan untuk menjana ekonomi melalui perusahaan berasaskan orkid.

Sementara itu, Penaung SARORSO, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dalam ucapannya, beliau berharap agar graduan SARORSO memainkan peranan masing-masing sebagai ejen pemuliharaan orkid dan biodiversiti.

Katanya, para graduan ini boleh berkongsi ilmu membimbing generasi baharu serta menjadi inspirasi dalam komuniti masing – masing.

“Teruslah berkongsi ilmu, terus menyumbang walaupun program tersebut telah berakhir.

“Terus belajar, terus berkhidmat dan terus menjadi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Pengasas SARORSO, Tengku Dr. Auvaroza Tengku Abraham.