KUCHING: Demak Laut dijangka muncul sebagai hab pembangunan baharu menerusi pelaksanaan projek jambatan dan infrastruktur yang bakal memberi manfaat kepada lebih 56,000 penduduk.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri( ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, beliau mewakili penduduk Demak Laut, Petra Jaya dan Kuching merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak.
“Penghargaan ini khususnya kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Kementerian Infrastruktur atas pelaksanaan projek ini.
“Pembangunan itu bukan sahaja memperkukuhkan jaringan perhubungan di kawasan kami, malah turut membuka potensi besar kepada pembangunan kawasan Tanjung Bako,” katanya.
Dr. Hazland berkata demikian kepada media selepas meninjau perkembangan projek pembinaan jambatan Sejingkat bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo, di sini, hari ini.
Tambahnya, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan laut dalam serta beberapa projek perumahan baharu turut mendapat manfaat dengan siapnya jambatan tersebut.
Jelasnya lagi, pembangunan berterusan itu dijangka meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di Demak Laut, Kuching dan Samarahan, sekali gus menjadikan kawasan tersebut antara pusat pertumbuhan baharu di Sarawak. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
