KUCHING: Pergerakan koperasi disaran memanfaatkan teknologi digital, memperkukuhkan pemasaran dalam talian, menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai seperti SPAY Global serta mengaplikasikan sistem pengurusan data pelawat yang lebih sistematik.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah ini akan meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelawat, sekali gus memperkukuh daya saing destinasi.
Dengan tadbir urus yang baik, semangat kerjasama, inovasi serta kesediaan mengadaptasi teknologi, gerakan koperasi Sarawak mampu muncul sebagai contoh terbaik dalam pembangunan pelancongan berasaskan komuniti di peringkat nasional dan antarabangsa, katanya pada majlis penutupan Program Bicara Ilmu: “Eko-Pelancongan Koperasi: Dari Alam ke Ekonomi Komuniti,” di sini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh mewakili Timbalan Premier.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll berkata, Sarawak amat bertuah kerana memiliki aset semula jadi bertaraf dunia seperti Taman Negara Gunung Mulu, Niah, Bako, Batang Ai dan Loagan Bunut.
Kelebihan ini perlu dimanfaatkan secara mampan melalui pemeliharaan biodiversiti, peningkatan kemudahan pelancongan serta usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa seperti Sarawak Delta UNESCO Global Geopark, katanya.
Dalam konteks ini, katanya, program seperti Bicara Ilmu hari ini menyediakan platform untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan jaringan kerjasama agar gerakan koperasi mampu menjadi pemain utama dalam pembangunan eko-pelancongan negeri.
Selepas pandemik Covid-19, beliau berkata, Malaysia berjaya memulihkan industri pelancongan dengan pantas dan pada 2025.
Katanya, negara merekodkan lebih 42.19 juta ketibaan pelawat antarabangsa, manakala bagi suku pertama 2026, sebanyak 10.65 juta pelawat telah direkodkan, meningkat 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut Awang Tengah sehingga kini terdapat lebih 16,468 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.33 juta orang, aset melebihi RM186.75 bilion dan perolehan tahunan lebih RM81 bilion.
Angka ini membuktikan bahawa gerakan koperasi mempunyai kekuatan ekonomi yang besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara, katanya.
Beliau menambah, dengan kekuatan tersebut, koperasi perlu melangkah lebih jauh daripada model perniagaan tradisional dan memanfaatkan peluang dalam sektor eko-pelancongan melalui kerjasama yang lebih strategik serta bersepadu.
Antara keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah membina rantaian nilai yang lebih kukuh dalam kalangan koperasi iaitu Koperasi pertanian, pelancongan, peruncitan dan kraftangan tidak seharusnya bergerak secara berasingan, sebaliknya saling melengkapi bagi memastikan nilai ekonomi terus beredar dalam komuniti.
