KUCHING: Bahan warisan Kerajaan Lingga-Banting milik peribadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar diserahkan sementara kepada Jabatan Muzium Sarawak, di sini, hari ini.
Penyerahan sementara itu bagi tujuan pembuatan salinan dan replika bahan warisan berkenaan yang sebahagian inisiatif pemeliharaan serta pendokumentasian khazanah sejarah tinggi nilai warisan. Ini sekali gus memastikan bahan-bahan asal terus terpelihara untuk rujukan dan tatapan generasi akan datang.
Yang di-Pertua Negeri diwakili Setiausaha Sulit Kanan beliau, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie pada majlis itu yang dimulai dengan menandatangani perjanjian penyerahan bahan itu bersama Jabatan Muzium Sarawak yang diwakili Timbalan Pengarah Muzium Sarawak, Yasmin Khalid Nicholls.
Sejurus itu, sesi penyerahan lima bahan warisan terbabit iaitu Manuskrip Silsilah Keluarga Ben Yahya Lingga-Banting, Kanun Kerajaan Lingga-Banting, Manuskrip Sejarah dan Susur Galur Kerajaan Lingga-Banting, Pedang Warisan Kerajaan Lingga-Banting serta tiga batang lembing Warisan Kerajaan Lingga-Banting.
Kesemua bahan warisan tersebut akan diserahkan semula kepada Yang di-Pertua Negeri sebaik sahaja proses penghasilan salinan dan replika oleh Jabatan Muzium Sarawak selesai dilaksanakan.
Replika akan digunakan untuk tatapan awam di ruang menunggu Astana Negeri Sarawak dan juga pameran di Muzium Melayu Sarawak, Wisma Melayu AKYBMS.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai Jabatan Muzium Sarawak antaranya Dr. Awangku Shahir Awang Suhaili, Siti Haznah Wasli, Nurliyana Lugluyah, Chai Baw Ching, Zullina Husaini, Mohd Ismail, Ustaz Wan Ariffin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Wan Hussin selaku waris. – ASTANA NEGERI SARAWAK
