KUCHING: Sarawak Energy terus memperkukuhkan ekosistem vendor dan kontraktornya menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Vendor Sarawak Energy (SEVEA) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, majlis tersebut dilaksanakan sebagai usaha mengiktirafkan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan, tadbir urus serta aspek Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE).
“Di Sarawak Energy, kami percaya bahawa kejayaan kami dibina berasaskan perkongsian yang kukuh. Vendor dan kontraktor bukan sekadar penyedia perkhidmatan, malah rakan strategik dalam usaha mencapai kecemerlangan operasi dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk rakyat Sarawak,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Sarawak Energy Vendor Excellence Award (SEVEA) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, malam ini.
Majlis disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta tetamu kenamaan lain.
Sharbini berkata, Sarawak Energy kini bekerjasama dengan kira-kira 6,000 vendor berdaftar, dengan lebih separuh daripadanya syarikat berpangkalan di Sarawak termasuk perusahaan Bumiputera.
Lebih RM139 juta turut diluluskan menerusi Program Pembangunan Vendor dan Program Pembiayaan Vendor.
Menurutnya, nilai kontrak kepada vendor Bumiputera meningkat daripada RM628 juta pada 2024 kepada RM783 juta pada 2025 sekali gus membuktikan komitmen Sarawak Energy dalam memperkasakan perusahaan tempatan.
“Cabaran masa hadapan memerlukan kerjasama erat, kepercayaan dan perkongsian visi. Saya yakin dengan komitmen bersama, kita akan terus mencipta nilai mampan serta membina masa depan yang lebih kukuh,” ulasnya.
Majlis bertemakan “Mengiktiraf Kecemerlangan, Menggerakkan Kejayaan Bersama” itu menyaksikan 18 anugerah disampaikan kepada vendor dan kontraktor yang cemerlang, sekali gus mencerminkan komitmen Sarawak Energy dalam membangunkan ekosistem vendor yang berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan.
