KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meletakkan harapan agar lebih lebih ramai wanita dicalonkan untuk bertanding dalam Piihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke- 13 akan datang.
Ketua Pergerakannya, Dato Sri Fatimah Abdullah bagaimanapun berkata, calon wanita yang diketengahkan itu tidak semestinya daripada Parti PBB.
“Calon wanita itu juga dalam kalangan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita (MTW) Parti PBB di Ibu Pejabat parti, Jalan Bako di sini hari ini.
Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti menegaskan, calon wanita yang hendak diketengahkan itu mestilah berkredibiliti, boleh memenangi hati rakyat dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita ada ramai wanita yang berpotensi dalam satu-satu kawasan tetapi ada juga kawasan yang macam kurang. Ini menjadi cabaran kita juga,” katanya.
Beliau memberitahu, namun perkara itu terserah kepada prerogatif Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menentukan calon yang bakal bertanding kelak.
Fatimah yang juga Ketua Wanita GPS berkata, calon yang dipilih adalah calon yang mesti menang dan berwibawa kerana ini juga penting sebab GPS tidak mahu kalah.
Beliau berkata, dalam PRN Ke-13 ini, GPS mahu mandat yang lebih mantap supaya Premier Sarawak dapat meneruskan perjuangkan visi dan misi beliau dan PBB sama ada di peringkat Pergerakan Wanita, Pemuda, Belia dan Majlis Tertinggi tetap berdiri teguh di belakang Premier Sarawak.
Yang lebih penting, tegas beliau, sama ada antara komponen Parti GPS mahupun dalam Parti PBB, kesepaduan itu sangat penting dalam menghadapi PRN dan kalau ada pun perbezaan ia harus ditangani dengan baik.
