Wanita Parti PBB terus perkasakan program dekati rakyat

KUCHING: Ahli-ahli Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat cawangan mahupun ranting barus memperkasakan program mendekati rakyat.

Ketuanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, memperkasakan program mendekati rakyat itu akan membolehkan wanita parti ini menjadi fasilitator untuk bantuan yang disediakan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, pendekatan wanita Parti PBB seperti Program “Kamek Prihatin, Kitak Penting” merupakan inisiatif wanita untuk menyalurkan maklumat dan mempercepatkan penyampaian bantuan kebajikan kerajaan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi dan luar bandar.

“Program seumpama ini dapat menyentuh perasaan seseorang individu ‘touching hearts’,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita (MTW) Parti PBB di Ibu Pejabat parti, Jalan Bako, sini, hari ini.

Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, selain program tersebut yang akan diadakan di Zon Mukah, pergerakan itu juga mengadakan Majlis Simpulan Kasih demi memperkasakan program yang sudah diadakan.

Menurut Fatimah, demi mengukuhkan jentera parti wanita, pergerakan itu juga terus berusaha menambahkan ahli wanitanya yang setakat ini mempunyai seramai 182,773 orang.

Pergerakaan Wanita Parti PBB kini, katanya, akan terus memperkukuhkan kesiapsiagaan parti di semua DUN sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

“Walaupun kita tidak tahu bila PRN akan diadakan, wanita hendaklah sentiasa aktif di lapangan dan sepanjang masa. Justeru, persiapan itu perlulah mantap dengan memperkemaskan gerak kerja,” katanya.

Setiap cawangan di peringkat DUN hendaklah memperkemaskan gerak kerja dan seperti biasa pembahagian tugas yang tersusun untuk memastiakn setiap aspek persediaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, tegas beliau.

Fatimah turut menzahirkan tahniah kepada wanita di peringkat cawangan dan ranting kerana sangat aktif dan tidak memilih masa.

“Ini bermakna wanita parti tidak menunggu PRN akan datang untuk memmulakan aktiviti.

“Kita memberi khidmat sepanjang masa tanpa mengira sama ada ketika pilihan raya atau di luar musim pilihan raya. Fokus utama Wanita PBB adalah untuk memperkukuhkan jentera wanita, memandangkan jumlah pengundi baharu dijangka meningkat kali ini,” tegas beliau.

Katanya, jentera parti perlu melipatgandakan usaha untuk mengenal pengundi terutama pengundi baharu.