Sarawak, Brunei buka ruang kerjasama baharu sektor tenaga dan ekonomi serantau

BANDAR SERI BEGAWAN: Hubungan strategik Sarawak dan Brunei Darussalam terus berkembang menerusi perbincangan dua hala yang memfokuskan kerjasama tenaga, ekonomi serta kepentingan bersama.

Pertemuan empat mata antara Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai pelbagai isu bersama, selain meneroka peluang baharu bagi memperluaskan hubungan yang memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi serantau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Premier Sarawak, hubungan erat di antara Sarawak dan Brunei Darussalam menjadi asas penting dalam memperluaskan kerjasama yang saling memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi serantau.

Antara perkara dibincangkan ialah isu berkaitan sempadan yang terus ditangani menerusi semangat persefahaman serta kerjasama rapat antara agensi berkaitan kedua-dua pihak, kata kenyataan media berhubung pertemuan itu.

Selain itu, turut diberi perhatian ialah perkembangan projek interkoneksi bekalan elektrik antara Sarawak dan Brunei Darussalam yang dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan tenaga serantau.

“Kerjasama dalam sektor tenaga akan membuka ruang kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh di samping menyokong agenda pembangunan mampan yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Sarawak menyatakan kesediaan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, termasuk memberikan peluang kepada rakyat Brunei menimba pengalaman dalam sektor hidroelektrik dan tenaga hijau bersama Sarawak Energy.

Sehubungan itu, kata kenyataan itu, Awang Tengah beberapa perkara yang masih dalam rundingan dapat dimuktamadkan sebelum pertemuan pemimpin kedua-dua pihak akan datang bagi mempercepatkan pelaksanaan kerjasama yang dipersetujui.

Sarawak akan terus memperluaskan hubungan strategik dengan Brunei Darussalam dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga dan pembangunan serantau demi manfaat bersama.