KUCHING: Sarawak bakal mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 26 September depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan Kuching sebagai tuan rumah merupakan satu penghormatan buat Sarawak.
“Kerajaan Sarawak menyokong AIM25 menerusi Geran Acara Pelancongan berjumlah RM1 juta sebagai komitmen memperkukuhkan industri kreatif dan pelancongan negeri,” katanya pada sidang media penganjuran Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM) 2026, di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran AIM25 dijangka memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan usahawan tempatan.
Katanya, acara itu turut mempromosikan budaya dan warisan Sarawak, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi acara bertaraf nasional dan antarabangsa.
Selain itu, beliau turut mengalu-alukan pengenalan kategori baharu, Lagu Borneo Terbaik, sebagai pengiktirafan kepada warisan muzik Sabah dan Sarawak.
“Kategori Lagu Borneo Terbaik membuka lebih banyak peluang kepada bakat Borneo serta memperkukuhkan muzik etnik sebagai sebahagian identiti muzik Malaysia,” ulasnya.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan industri seni dan budaya kerana mampu menjana ekonomi serta membuka peluang kepada generasi muda.
Beliau yakin kejayaan AIM25 bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, industri dan rakan strategik.
Sehubungan itu, mengalu-alukan kehadiran warga industri muzik ke Kuching bagi meraikan AIM25 dan mempromosikan keindahan Sarawak.
